Rata-rata netizen memuji pelakon dan pengarah filem Nam Ron kerana menggunakan bahasa kebangsaan untuk menjawab pertanyaan dari moderator dan penonton secara langsung menerusi Facebook rasmi New York Asian Film Festival (NYAFF) selepas tayangan filem One Two Jaga: Crossroads.

Ramai yang memuji tindakan Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 49, kerana memperkasakan bahasa Melayu secara tak langsung membawa nama Malaysia menerusi filem.

Nam Ron berkata, ini bukan kali pertama dia menggunakan bahasa Melayu dalam sesi aspresiasi filem dan teater dalam festival di luar negara.

"Sebenarnya saya mahu mengulas dalam bahasa Melayu sepenuhnya dengan menggunakan khidmat penterjemah tetapi diselang-selikan dengan bahasa Inggeris kerana merasakan terjemahan yang dibuat oleh penterjemah ada yang tidak benar-benar memberi maksud kepada ulasan saya," katanya.

Filem One Two Jaga arahan Nam Ron masih belum ditayangkan di Malaysia tetapi sudah mencipta beberapa kejayaan antaranya dipilih sebagai filem pembukaan (opening film) di 20th Udine Far East Film Festival, Itali.

"Penggunaan bahasa kebangsaan yang merupakan identiti kepada setiap rakyat Malaysia di festival sebegini akan membuatkan orang luar lebih hormat," katanya lagi.

Filem ini dibintangi oleh Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Iedil Putra, Chew Kin Wah serta bintang Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail.


Teks: Noor Zulaikha Yusof
Sumber: Kosmo