Selepas seringkali berlaku kesilapan dalam lakonan membabitkan babak pelakon menggunakan senjata api mahupun memakai uniform anggota keselamatan, satu modul khusus akan diperkenalkan buat rujukan pengamal industri.

Perunding taktikal, Active Tactical, Azman Arifin berkata, pengenalan modul ini adalah sangat penting dalam memberi penerangan cara menggunakan senjata atau memakai pakaian beruniform ketika dalam lakonan.

"Secara sedar atau tidak, sudah banyak kali kesilapan yang penonton boleh nampak dalam filem atau drama. Paling ketara, cara pegang pistol yang salah," katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, meskipun babak tembak menembak hanyalah lakonan tetapi ia perlu diperincikan dari aspek kejadian tersebut berlaku sehingga mangsa ditembak sama ada mati atau sebaliknya.

"Ada prosedur untuk melepaskan tembakan dan ini semua boleh merujuk pada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Malah, jika kita tonton watak 'sniper' lakonan Mark Wahlberg dalam filem Shooter, babaknya bukanlah hanya menunggu masa menembak di atas bangunan tapi kehidupannya juga adalah sangat penting untuk dilakonkan," katanya.

Azman menambah, ketika ini pasukannya masih menyiapkan modul berkenaan yang diharapkan dapat menjadi rujukan pada semua penggiat seni sama ada produser, pengarah, penulis skrip mahupun pelakon.

"Biasanya lakonan dalam filem atau drama tempatan tidak terlalu fokus aspek cara menggunakan senjata api dalam lakonan.

"Begitu juga, ada pengarah yang mahu cara mangsa ditembak dan mati juga perlu mengikut konti untuk mendapatkan syot yang menarik.

"Sebenarnya, kena tembak pun ada masa untuk mangsa mati bergantung pada tempat sasaran dia ditembak," katanya.

Mengambil contoh babak aksi membabitkan anggota beruniform dalam filem terbaru, Proksi, Azman menjelaskan pasukannya juga berbincang dengan Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM sebelum penggambaran bermula untuk memastikan segala lakonan berjalan lancar dan dibuat dengan betul.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @active.tactical