Penyampai radio Era, Jaa Suzuran mengakui masih memerlukan masa untuk memperbaiki kekurangan yang ada pada dirinya untuk menjadi seorang pelawak.

Menurut Jaa, dia menganggap kritikan yang diberikan di media sosial sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya pada masa depan.

"Sebagai orang baru dalam industri saya akan memperbaiki mutu persembahan dan meminta nasihat daripada mereka yang lebih senior daripada saya.

"Saya masih perlukan masa untuk memperbaiki kelemahan yang ada kerana latar belakang kerjaya saya bukanlah sebagai seorang pelawak.

"Mungkin sukar untuk saya memenuhi kepuasan semua penonton kerana pastinya akan ada yang suka dan sebaliknya.

"Saya ambil kritikan yang diberikan di media sosial sebagai pembakar semangat untuk melakukan yang lebih baik selepas ini," katanya kepada Astro Gempak.

Jaa berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai persembahannya dalam Super Spontan Xtravaganza (SSX) yang dikatakan hambar di media sosial.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan 'tukang masak', SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej 'tukang masak jalanan' dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej 'tukang masak di hotel'.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri tempatan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram Jaa