Pensyarah sambilan filem dan penyiaran berpengalaman yang juga fasilitator bengkel latihan berkaitan industri kreatif, Zaki Abdul Rahim mengakui terkejut apabila namanya disebut sebagai calon paling layak untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Beliau yang sering dijemput sebagai panel dan moderator program diskusi filem dan produksi di peringkat institusi pengajian tinggi, Kebangsaan dan antarabangsa berpandangan tugas Pengerusi FINAS cukup besar dan berat dalam memimpin pengurusan badan perfileman itu.

"Beliau (Pengerusi FINAS) kena faham industri perfileman melalui produk kreatif secara keseluruhan sekaligus mencetus serta menggerakkan idea tambah baik perlaksanaan polisi FINAS. Lebih penting pengerusi harus sentiasa menasihati serta mendokongi peranan Ketua Pengarah tanpa sebarang kepentingan peribadi," katanya kepada Astro Gempak.

Zaki mengulas lanjut kenyataan seorang pengarah drama yang juga Biro Pembangunan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Hashim yang mencalonkan namanya sebagai Pengerusi FINAS yang baru. (Baca lagi: Pilih Calon Paling Layak Dari Aspek Latar Belakang Dan Pengalaman Seni Luas Untuk Memacu FINAS)

Berkongsi pandangan secara peribadi, Zaki mengakui individu yang bakal dilantik Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ini bukanlah calang-calang calon yang diberi kepercayaan.

"Amat jelas Pengerusi FINAS harus menjalinkan hubungan baik dengan menteri, media dan kepimpinan industri. Seboleh mungkin tampil dalam semua majlis berprestij industri hiburan.

"Bukan mudah juga untuk Pengerusi FINAS ini mempengerusi mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah. Beliau kena urus dengan baik dan perlu ada kredibiliti itu," katanya.

Zaki yang pernah menjadi fasilitator di Radio Television Brunei (RTB) dan Asia Pasific Broadcasting Union (ABU) juga menyatakan Pengerusi FINAS perlu bijak dalam menguruskan orang industri secara profesional.

Malah, beliau juga mengharapkan peranan Pengerusi FINAS tidak mencampuri urusan pengagihan dana supaya tidak timbul persepsi negatif dalam kalangan penggiat seni.

"Saya rasa kurang layak, ada orang lain lebih layak dari aspek karisma dan kredibiliti. Jika dilihat sebelum ini nama-nama calon untuk jawatan ini memang hebat berlaka.

"Seperti kita tahu, Pengerusi FINAS bukanlah calang-calang tugas seperti pengerusi persatuan belia.

"Namun, jika ada orang lain mencalonkan Hassan Abd Muthalib dan Sharifah Amani, saya berlapang dada turut menawarkan diri," katanya dalam nada berseloroh tetapi tegas.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: FB - Zaki Haji Abdul Rahim