Pernah dikenali menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Toy Nizam semakin serius dalam bidang nyanyian apabila muncul dengan single terbaru berjudul, Jangan Biarkan.

Masih bersama kumpulan Hyper Act, Toy bagaimanapun memilih bergerak secara solo untuk single terbaru ciptaannya kali ini.

Akuinya, dia tampil dengan single kali ini kerana minat terhadap muzik selepas pernah mempunyai 10 single sendiri sejak tahun 2008 menerusi Panahan Asmara sehingga Sesaat Cuma (2015).

Single ini akan diperdengarkan pada khalayak pada pertengahan bulan ini menerusi semua platform digital.

Menariknya, Toy buat pertama kali bekerjasama dengan Cloudworks untuk rakaman dan pemasaran lagu ini.

Toy mengharapkan lagu baru yang membawa genre pop rock ini diterima peminat yang merindui kehadirannya semula.

"Sepanjang kemunculan lagu solo sebelum ini, peminat memberikan respon yang positif.

"Banyak single saya yang dijadikan lagu runut bunyi atau OST yang memberi kelebihan pada lagu saya dikenali ramai peminat," katanya dalam satu kenyataan.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Cloudworks