Setelah menghilang selama lima tahun, Benladin, 17, atau nama sebernarnya Muhammad Benladin Munshi Shaihan kembali muncul dengan single terbaru yang diberi tajuk Hikayat Benladin.

Penyanyi remaja ini menjelaskan dirinya sedang sibuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran memandangkan dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Namun begitu, bekas peserta Bintang Idola Kecil musim ke-5 ini menyatakan perkara itu tidak menjejaskan semangatnya untuk kembali aktif menyanyi kerana jadual hariannya telah diatur dengan baik.

"Saya akui sedang sibuk dengan pelajaran, tetapi saya bersyukur kerana single terbaru ini berjaya dilancarkan.

"Jadual menyanyi dan belajar telah diatur dengan baik, jadi saya yakin 'comeback' yang dibuat ini tidak akan menganggu prestasi akademik saya.

"Selain itu, saya berpendapat bahawa menyanyi tidaklah sesibuk berlakon, jadi saya masih mempunyai masa terluang memandangkan saya kurang berlakon buat masa ini," katanya ketika ditemui di Majlis Sidang Media Hikayat Beladin bertempat di Red Box Karaoke, The Gardens Mall sebentar tadi.

Tontonan muzik video Hikayat Beladin telah mencecah lebih dari dua juta penonton selepas hanya tiga minggu dimuat naik di YouTube.

Single tersebut dihasilkan sepenuhnya oleh Malique dan Dedeq untuk Sony Music Malaysia.

Sebelum ini, Benladin pernah muncul dalam sebuah single duet bersama Datin Alyah pada tahun 2013, namun menghilangkan diri selepas itu kerana sibuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran.


Teks : Asraf Aided