Waktu Bermain Penting Bagi Kanak-Kanak

Gaya Hidup
Waktu Bermain Penting Bagi Kanak-Kanak
Dari sudut saintifiknya, bermain dapat membantu kanak-kanak dari segi pembelajaran serta perkembangan psikomotor mereka.

Namun, bagi kanak-kanak yang berada dalam kalangan keluarga berpendapatan kecil, akses kepada mainan dan masa bermain sangat terhad.

Menurut kajian Persatuan Perpustakaan Permainan Malaysia, membenarkan kanak-kanak bermain dengan alatan permainan sangat penting dalam pembentukan fikiran dan pembangunan minda kanak-kanak.

Kajian itu menunjukkan kekurangan waktu bermain ketika kanak-kanak boleh mendedahkan mereka kepada masalah sosial ketika kalangan remaja.

Ini mendorong Presiden Persatuan Perpustakaan Permainan Malaysia, Datin Wong Poai Hong, untuk menubuhkan perpustakaan permainan bagi membantu menyediakan akses kepada permainan bagi kanak-kanak yang kurang berkemampuan.

"Hampir 20 peratus masalah yang dihadapi remaja adalah isu berkaitan sosial dan emosi. Ini berpunca dari pengalaman mereka pada usia yang muda.

"80 ke 90 peratus pertumbuhan minda berlaku dari waktu dilahirkan sehingga 5 tahun. Oleh itu, jika ingin memupuk sikap baik dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa harus fokus kepada lima tahun yang pertama anak mereka," katanya.

Tambah Wong, perpustakaan permainan ini juga menggalakkan komunikasi lebih erat antara anak-anak dan ibu bapa.

Perpustakaan permainan yang pertama di Malaysia ditubuhkan 10 tahun yang lalu.

Ketika ini, terdapat hampir 40 perpustakaan permainan di seluruh Malaysia, di mana kebanyakkannya tertumpu di kawasan pedalaman.

Persatuan itu kini menetapkan fokus kepada kawasan bandar terutama kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu golongan miskin bandar.

Laporan Kanak-Kanak pinggiran hasil kaji selidik UNICEF kawasan PPR mendapati kira-kira 4 dalam 10 isi rumah tiada alat permainan untuk kanak-kanak berusia bawah 5 tahun.

UNICEF berharap dengan penubuhan perpustakaan permainan di kawasan PPR, ia akan membantu kanak-kanak di kawasan tersebut mendapat akses kepada alatan permainan.

Perpustakaan permainan PPR pertama akan ditubuhkan di kawasan PPR Idaman yang dijangka siap menjelang September ini.

Sumber: Astro Awani
Foto: Nursery Play
 

Artikel Berkaitan