Penyanyi Farhan masih menerima undangan nyanyian meskipun usia kandunganya sudah mencecah sembilan bulan.

Farhan yang juga bekas bintang Akademi Fantasia 4 itu berkata dia bersyukur kerana rezeki tidak pernah putus meskipun sedang sarat hamil.

“Alhamdulilah, ini semua kuasa Allah. Semua itu Dia yang bagi.

“Syukur sejak hamil rezeki menyanyi saya tidak pernah putus dan suara saya juga berada di dalam keadaan yang baik.

“Tiada beza bila menyanyi cuma saya agak penat sedikit bila perlu berdiri lama ketika persembahan.

“Kadang-kadang ada orang tak sedar pun saya hamil. Mungkin juga baju yang saya pakai agak besar dan tidak menampakan bahagian perut,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Bagaimana pun Farhan kini sedang berehat dan menunggu hari untuk melahirkan anak keduanya itu.

“Saya sedang berehat sahaja di rumah selepas kali terakhir memenuhi undangan nyanyian minggu lalu,” katanya lagi.

Farhan bakal melahirkan anaknya itu secara pembedahan di sebuah hospital swasta tidak lama lagi.

Farhan mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Rashadan Suhaimi pada Oktober 2014.

Pasangan ini dikurnaikan seorang cahaya mata perempuan bernama Souffea Zulaeqha, 1.