Bayangkan bagaimana kehidupan penyanyi baru, Boh Sharif di dalam penjara selama 25 tahun bersama 45 sebatan sehingga dibebaskan pada tahun 2013.

Pengalaman perit itu dikongsi penyanyi berusia 52 tahun ini yang mahu kisah hidup silamnya menjalani hukuman di Penjara Tanah Merah selama 12 tahun sebelum dipindahkan ke Changi Prison Cluster (CPC) Singapura menjadi pengajaran pada orang lain khususnya golongan muda.

Boh Sharif atau nama sebenarnya, Sharifpudin Mohamad bercerita dia terbabit dengan aktiviti jenayah sejak zaman remaja apabila terikut dengan rakan memeras ugut orang lain untuk mendapatkan wang sebelum menyertai kumpulan kongsi gelap.

"Badan makin sihat cuma kesan sebatan masih ada. Sebenarnya, hujung rotan ketika disebat lebih sakit sebab terkena paha.

"Kadang-kadang tukang pukul (warden) juga khianat. Ada 2 jenis hukuman sebat iaitu satu atas kesalahan dalam penjara manakala satu lagi hukuman daripada mahkamah," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, pengalaman disebat memang cukup memeritkan apatah lagi disebat sehingga 45 kali.

"Siapa-siapa cakap kena rotan tak sakit, itu tipu. Macam orang tak pernah kena, kita bagi semangat kata tak sakit tapi bila dah kena, kita tanya balik sakit ke tidak.

"Begitu juga di penjara, jika kena rotan, banduan lain pesan jangan terpekik sebab nanti banduan itu jadi popular dan diejek," katanya.

Akui penyanyi yang muncul dengan single Tinggal Sejarah ini, ketika usia muda dia tidak fikir panjang atas kelakuan sendiri sehingga terjebak dengan dadah dan masuk penjara.

"Masa muda tak ingat macam sekarang, banyak kesilapan zaman muda bila direnung kembali sehingga timbul rasa menyesal.

"Jika boleh saya mahu kongsikan cerita saya ini dengan sesiapa agar jangan terlibat seperti saya," katanya.

Baginya, pengertian Aidiladha juga suatu yang cukup besar kerana mempunyai impian untuk ke Tanah Suci suatu hari nanti.

"Kalau diizinkan Allah saya ingin sekali menunaikan fardu haji sambil menyentuh kaabah dan berniat di depannya," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak