Ahli kumpulan Puteh, Mamak, mengakui prestasi kumpulannya tidak konsisten pada setiap minggu dalam Super Spontan Xtravanganza.

Menurut Mamak, kumpulannya Lobster Leleh masih mencari chemistry dan keserasian dalam setiap permainan yang dipertandingkan.

"Saya setuju apabila ramai yang mengatakan prestasi kumpulan kami agak tidak konsisten berbanding Sotong Kangkung.

"Mungkin chemistry kami setiap anggota kumpulan masih kurang dan ada kalanya tidak menjadi.

"Tapi kami akan memperbaiki kelemahan yang ada dan akan lakukan yang terbaik untuk memenangi setiap permainan," katanya kepada Gempak.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan 'tukang masak', SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej 'tukang masak jalanan' dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej 'tukang masak di hotel'.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri tempatan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.