Kejayaan luar biasa filem Hantu Kak Limah (HKL) yang meraih RM32.5 juta dalam 18 hari tayangan telah memberi inspirasi kepada syarikat produksi Infinitus Gold Sdn. Bhd. untuk menerbitkan sambungannya tahun depan.

Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai memberi bayangan naskhah ber­kenaan akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Gayatri berkata, idea untuk menerbitkan sambungan HKL masih dalam peringkat perbincangan dan kata putus hanya akan dibuat selepas semua pihak yang terlibat dalam filem ini memberi persetujuan.

“HKL merupakan filem kedua terbitan Infinitus Gold dan saya sendiri tidak menjangka sambutan luar biasa yang diterima daripada filem arahan Mamat Khalid ini.

“Menerusi kenyataan yang diberikan Mamat, mungkin kami akan meneruskan francais filem ini.

“Bagaimanapun buat masa ini semuanya masih dalam proses perbincangan.

“Jika tiada aral filem kelima dalam siri Kampung Pisang ini dijangkakan akan ditayangkan pada tahun depan pula,” katanya.

Filem HKL merupakan judul keempat dalam siri Kampung Pisang bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah serta Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Naskhah berkenaan mengisahkan Kak Limah yang baru sahaja berumah tangga, telah ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di dalam kebun.

Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Datuk Awie, Zul Ariffin, Uqasha Senrose dan Delimawati.

Filem arahan Mamat Khalid itu juga menampilkan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr. Vida serta artis popular, Erra Fazira sebagai bintang undangan khas dalam HKL.


Sumber: Utusan Online