Pelakon Hairul Azreen mengakui kejadian hampir dipatuk ular tedung selar telah menyebabkan dirinya menginsafi diri.

Menurut Hairul, kejadian itu membuatkan dia terfikir apakah yang akan terjadi sekiranya dia benar-benar dipatuk ular sehingga menyebabkak kematian.

"Kejadian itu betul-betul menginsafkan diri saya.

"Saya terfikir macam mana kalau saya tiada, adakah cukup amalan saya ketika di dunia untuk dijadikan bekalan ke akhirat," kata Hairul.

Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris berkata, dia sempat melarikan diri sebaik sahaja didatangi ular terbabit.

"Insiden itu berlaku ketika saya sedang berbasikal. Ia terjadi di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Jelutong, Shah Alam.

"Ketika itu, saya berhenti berehat di tepi jalan sementara menunggu seorang rakan yang masih belum sampai di tempat kami berkumpul.

"Saya berbaring di atas rumput dan ada longkang yang berdekatan dengan kaki saya.

"Ular itu ada dalam longkang dan betul-betul berada di celah kangkang saya.

"Saya ditegur oleh seorang kawan lalu terus ambil basikal pergi dari situ," katanya kepada Gempak.

Hairul ditemui di majlis sidang media filem Paskal di GSC Signatures The Garden, Kuala Lumpur hari ini.

Filem Paskal arahan Adrian Teh akan mengetengahkan pembabitan Paskal dalam misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel dari lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Selain Hairul, filem Paskal dibintangi oleh Ammar Alfian, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Filem Paskal bakal ditayangkan pada 27 September ini di pawagam yang berdekatan.