Bintang rancangan realiti Big Stage, Tajul, 20, mengakui dia berasa tercungap ketika membawakan lagu Amboi pada Ahad lalu.

Menurut Tajul, jika dilihat dari luaran, tugas untuk menyanyikan lagu itu sangat mudah tetapi apabila menyanyikan sendiri, lagu itu agak sukar untuk dibawakan.

"Untuk persembahan lagu Amboi, memang saya sudah rasa berserah apabila diberikan tugasan untuk menyanyikan lagu rap.

"Saya sahut cabaran untuk menyanyikan lagu itu walaupun tahu ia di luar kemampuan dan agak sukar untuk membawanya.

"Walaupun sudah banyak kali berlatih, saya tetap berasa cungap ketika melakukan persembahan itu.

"Saya telah cuba melakukan yang terbaik dan hanya itu sahaja yang mampu diberikan," katanya.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari berkata, andai kata minggu depan dia yang akan tersingkir, dia terima keputusan itu.

"Saya terima keputusan jika minggu depan saya merupakan peserta yang akan tersingkir.

"Saya sudah sampai ke tahap sekarang ini pun sudah saya bersyukur kerana bagi saya sudah buat yang terbaik," katanya kepada Gempak.

Ketika berlangsung konsert keempat Big Stage, juri tetap telah memberi komen yang kurang menyenangkan terhadap persembahan Tajul pada malam tersebut.

Selain Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir, Mas Idayu juga memainkan peranan sebagai juri jemputan untuk konsert minggu lalu.

Pada konsert Big Stage Ahad ini, Tajul akan mempersembahkan lagu Sulit nyanyian asal Aman Aziz.

Jangan lepaskan peluang untuk terus menyaksikan pertarungan 7 bintang
muda dalam rancangan realiti baharu Big Stage.

Selain Tajul, Big Stage turut disertai oleh Afieq Syazwan, Syafiq Farhain, Ariff Bahran, Sarah Suhairi, Wani Kayrie dan Baby Shima.

Rancangan Big Stage ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh TikTok ini akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini!