Sempena cuti Hari Kemerdekaan Negara Ke-61 esok bersambung dengan cuti hujung minggu pastinya ramai warga kota pulang ke kampung halaman mahupun bercuti sambil berpeluang menggunakan kemudahan pembayaran secara elektronik menerusi Kad Visa di hentian Rehat dan Rawat (R&R), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pelancaran pembayaran tanpa tunai menerusi Visa iaitu kad debit, kad kredit adalah sebahagian daripada kerjasama antara PLUS dengan Visa Malaysia.

"Ini bertujuan mempromosi dan menggalakkan pembayaran tanpa tunai yang diterima secara meluas di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Buat masa ini, kemudahan pembayaran tanpa tunai tersebut hanya boleh digunakan di kawasan R&R Dengkil (menghala ke utara).

Tambahnya, setiap hari sebanyak 62,000 kenderaan melalui perjalanan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan Putrajaya menggunakan lebuhraya ELITE.

"Kami percaya sistem pembayaran ini memmberi kemudahan pada orang ramai terutama pelancong yang tiba di KLIA," katanya.

Menariknya, bagi pengguna Visa berpeluang menikmati diskaun RM1 untuk transaksi minimum sebanyak RM2 di kawasan R&R tersebut sehingga 30 November.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: PLUS Malaysia Berhad