Pelakon filem Munafik 2, Maya Karin mendedahkan dia tidak diganggu kejadian mistik sepanjang penggambaran filem itu.

Namun, Maya dimaklumkan ada antara kru produksi yang ternampak kelibat lembaga ketika di set penggambaran Munafik 2.

"Setakat ini saya tidak pernah pula berdepan pengalaman mistik ketika shooting filem seram.

"Tetapi ketika di set filem Munafik 2, saya ada terdengar kru ternampak kelibat lembaga.

"Tetapi saya tidak bertanyakan lebih lanjut dan tidak mahu tahu lebih mendalam," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Munafik 2 di e@Curve, Damansara baru-baru ini.

Munafik 2 yang turut dibintangi Syamsul Yusof, Datuk Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi dan Nasir Bilal Khan itu telah memulakan tayangan malam tadi.

Filem terbitan Skop Productions dan President Productions itu setakat ini telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.05 juta bagi tayangan awal (sneak preview).

Dengan jumlah kutipan tersebut, filem arahan Syamsul Yusof itu mencipta rekod tersendiri iaitu jumlah kutipan tayangan awal paling tinggi bagi filem tempatan.

Jumlah kutipan itu turut disahkan oleh penerbitnya, Datuk Yusof Haslam dengan merangkumi tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Untuk rekod, filem Munafik pertama yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta.