Pelakon Hairul Azreen mengakui dia tidak menggalakkan anaknya, Yusuf Iskandar terdedah dengan gadget atau telefon pintar.

Menurut Hairul, dia suka menghabiskan masa lapangnya bermain dengan Yusuf.

"Saya perasan Yusuf ini tidak suka bermain telefon seperti kanak-kanak lain.

"Apabila di rumah, Yusuf akan menonton kartun di televisyen, bukannya di telefon pintar.

"Saya lebih suka melakukan aktiviti bersama Yusuf seperti pergi berenang dan taman permainan," katanya.

Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris berkata isterinya, Hanis Zalikha seorang yang suka membaca.

"Hanis seorang yang rajin membaca dan baru-baru ini, menerusi pembacaan Hanis, kami dapat tahu apabila selalu terdedah dengan telefon bimbit, ia boleh mengakibatkan sel-sel otak tidak berfungsi dengan baik.

"Agak berbahaya untuk kanak-kanak seperti Yusuf," katanya kepada Gempak.

Hairul ditemui di majlis sidang media filem PASKAL The Movie di GSC Signatures The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem PASKAL The Movie arahan Adrian Teh akan mengetengahkan pembabitan Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel dari lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Selain Hairul, filem PASKAL The Movie dibintangi oleh Ammar Alfian, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Filem Ini bakal ditayangkan pada 27 September hadapan di pawagam yang berdekatan.