Bawa Watak Anggota PASKAL, Taufiq Hanafi Akui Terbeban Kerana Bapa

Hiburan
Bawa Watak Anggota PASKAL, Taufiq Hanafi Akui Terbeban Kerana Bapa
Pelakon Taufiq Hanafi mengakui terbeban membawakan watak anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Memegang watak sebagai Bintara Kanan Khairil Fikri Abd Musa atau Ustad dalam filem PASKAL The Movie, Taufiq tidak mahu menghampakan bapanya yang merupakan bekas anggota tentera.

"Apabila saya mendapat tawaran untuk memegang watak sebagai anggota PASKAL, saya maklumkannya kepada bapa saya.

"Bapa saya bertanya, adakah saya serius mahu menggalas watak tersebut? Adakah saya sudah bersedia untuk 'didera' dan menjalani latihan persis seorang anggota sebenar?

"Bapa saya turut menegaskan agar saya bersungguh-sungguh dan tidak main-main dengan watak ini.

"Bapa juga sempat berpesan agar saya tidak memalukan namanya. Saya berazam untuk memberikan 100 peratus ketika menjalani penggambaran ini.

"Setiap kali memasuki set penggambaran, saya ingat pesan bapa dan rasa sedikit terbeban. Namun begitu, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar," katanya.

Diadaptasikan dari kisah benar, PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan pasukan elit itu dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Selain Taufiq, filem itu dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Gambit Saifullah, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini yang bakal ditayangkan bermula 27 September ini!

Artikel Berkaitan