Penyampaian mesej patriotik sempena Hari Kebangsaan Malaysia Ke-61 bukan hanya disaksikan menerusi perarakan anggota keselamatan tapi dikongsi bersama menerusi penerbitan video pendek berjudul Bendera Yang Hilang.

Pengarah, Ahmad Hashim berkata, dia bersama beberapa rakan dari produksi Malaysian Guerilla Indipendent Film Maker tampil berkongsi idea menghasilkan sebuah video pendek yang membawa tema kemerdekaan negara.

Plot mengisahkan bagaimana dua beranak iaitu Ramasamy bersama anaknya, Muthu serta rakan anaknya, Ahmad memberi tabik hormat pada Jalur Gemilang yang dibuang ke dalam tong sampah.

Dalam video pendek itu menyaksikan Ahmad mencari Jalur Gemilang milik bapanya yang juga seorang askar tetapi tidak jumpa.

Sehingga Ramasamy menjumpai Jalur Gemilang itu di dalam sebuah kotak dalam tong sampah, dia bertindak memasang bendera tersebut pada becanya.



Membawa mesej, sesuatu yang indah haruslah dikongsi bersama, ia menterjemahkan sikap Ahmad yang memberikan bendera itu pada bapa rakannya itu.

"Ahmad percaya ayah Muthu adalah orang yang betul mempunyai semangat kenegaraan seperti bapanya yang berjuang sebagai askar," katanya kepada Astro Gempak.



Meskipun, ia hanyalah video pendek tetapi Ahmad Hashim percaya penerbitan video sedemikian penting sebagai usaha membangkitkan semula semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini.

Video pendek yang mengambil durasi 3 minit 24 saat itu boleh ditonton menerusi YouTube.

Teks oleh: Elrafaei Sapi