Bersaing dengan ramai pendatang baru, penyanyi Misha Omar bersyukur kerana single terbarunya, Sampai Bila diterima oleh peminat muzik tempatan.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana penerimaan terhadap lagu Sampai Bila sangat memberangsangkan.

"Saya tak sangka lagu ini menjadi siulan dan permintaan ramai. Saya juga sangat gembira apabila ramai peminat, termasuk rakan-rakan penyanyi menyanyikan semula lagu saya dalam versi 'cover'.

"Penerimaan peminat membuatkan saya lebih bersemangat untuk berkarya dan memberikan yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang saya lakukan," kata Misha ketika ditemui oleh Gempak.

Tambah Misha, dia juga tidak sangka lagu ciptaan Sharon Paul bersama Ahmad Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri ini menerima tempias viral.

"Sejujurnya, saya tak sangka dapat menerima tempias viral baru-baru ini menerusi program MeleTOP. Saya tak menduga aksi saya menyampaikan lagu Sampai Bila ketika duduk menjadi perhatian ramai pihak sehingga ia tular.

"Apabila ada pihak media menelefon saya bertanyakan mengenai perkara terbabit, saya rasa malu sendiri. Dalam hati saya berkata, mungkin ini salah satu perkara yang perlu dilalui selebriti masa kini.

"Segala perkara yang dilakukan menjadi perhatian kerana media sosial memang membawa pengaruh besar dalam kehidupan di zaman sekarang," katanya lagi.