Penyanyi, Tajul tidak berkecil hati dengan kritikan yang diberikan oleh juri tetap, Faizal Tahir terhadap persembahannya sepanjang menyertai program realiti Big Stage.

Tajul berkata, dia mengambil teguran itu secara positif dan secara tidak langsung memberikan semangat untuk memperbaiki mutu persembahannya.

“Saya tak pernah ambil hati komen juri, sebab saya tahu apa yang juri kritik itu kerana mereka mahukan yang terbaik untuk saya.

“Bagi saya juri memang ada hak untuk menilai persembahan setiap bintang dan saya ambil teguran itu dengan hati yang terbuka.

“Saya pun dah cuba perbaiki kekurangan yang ada dan saya anggap rezeki hanya setakat ini. Bukannya saya tidak layak untuk masuk ke final tetapi mungkin ada lagi bintang yang lebih layak,” katanya kepada Gempak.

Tajul juga turut mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan dia tidak sesuai untuk menyertai program realiti.

“Nak kata nampak terlalu rilex itu saya tak pasti sebab saya dah buat bersungguh-sungguh. Mungkin kerana karakter saya dah memang begitu jadi tak boleh buat apa.

“Tak mengapalah, saya percaya rezeki tuhan itu ada di mana-mana. Andai kata ada lagi tawaran untuk sertai program seperti ini, saya tidak akan tolak,” jelasnya.

Tambah Tajul lagi dia tidak berasa kecewa apabila namanya diumumkan sebagai bintang yang tersingkir kerana sudah memberikan persembahan terbaik.

“Alhamdulillah, puas hati dengan persembahan kerana saya dah buat yang terbaik tetapi mungkin ada yang lebih baik lagi daripada saya.

“Saya tak kecewa kerana sejak awal lagi penglibatan dalam Big Stage, saya bukan mahukan kemenangan.

“Sebaliknya mahu menimba pengalaman bagaimana rasanya sertai program realiti kerana saya tidak pernah menyertai mana-mana program sebelum bergelar artis.

“Ini adalah kali pertama jadi saya mahu belajar dan cungkil seberapa banyak ilmu yang diberikan. Kemudian barulah kita tahu bahagian mana yang lemah kerana saya bukanlah sempurna,” jelasnya.

Tajul menyampaikan lagu Sulit nyanyian asal Aman Aziz sebelum diumumkan sebagai bintang yang tersingkir di minggu kelima Big Stage.

Big Stage ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh Tiktok ini disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Big Stage juga boleh ditonton melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk informasi terkini mengenai program ini.