Pengarah terkenal, Syamsul Yusof mengakui tiada formula khusus untuk menarik penonton ke pawagam menyaksikan filem terbarunya, Munafik 2 yang berjaya mencatat sejarah kutipan filem tempatan tertinggi sebanyak RM5.65 juta untuk hari kedua tayangan.

Jelasnya, dia sebolehnya tidak mahu bercakap soal kutipan yang diraih tetapi percaya jumlah kutipan menjadi sebahagian daripada strategi pemasaran untuk tarik perhatian lebih ramai penonton ke pawagam.

"Memang dari dulu sejak buat filem pertama, saya atau adik saya buat filem, ayah selalu tekankan kalau tanya kutipan filem, soal rezeki itu terserah pada Allah janji buat kerja betul-betul dan buat filem yang bagus.

"Memang betul apa yang ayah saya cakap sebab setiap kali buat filem, fokus pada kualiti dan ikhlas, insha Allah semua anugerah dan kutipan dipermudahkan," katanya menerusi program Planet Mawi, baru-baru ini.

Ujarnya, tiada formula khusus untuk filem ini sukses kerana percaya filem yang baik perlu ada tema yang bagus termasuk skrip dan pengarahan serta kerjasama semua pelakon.

Bercerita di sebalik pembikinan filem sekuel kali ini, Syamsul menyatakan dia berkurung selama sebulan di dalam bilik untuk fokus dalam menyiapkan skrip filem Munafik 2.

"Masa dah pendek, nak tak nak saya perlu siapkan skrip lagipun saya dah 'locked' artis sebelum tulis skrip.

"Saya percaya apabila berkerja dalam tekanan, selalu tercetus idea," katanya.

Syamsul memberitahu penghujung cerita adalah perkara paling penting dalam sebuah filem dan menariknya, idea itu datang daripada mimpi.

"Banyak idea dalam Munafik 2 selain saya membuat kajian, ada juga idea saya dapat daripada mimpi.

"Apabila terjaga, saya terus cari pen nak tulis," katanya.



Akuinya, sebelum menghasilkan filem pertama iaitu Munafik, dia sudah mempunyai keinginan membuat filem keagamaan yang menyentuh jiwa penonton

"Idea ini timbul apabila mendengar ceramah, tengok sirah nabi walaupun kartun, saya terfikir kalau boleh buat sesuatu dan dari situ tercetus idea tapi saya tidak terfikir untuk memilih munafik sebagai tema.

"Dipendekkan cerita, saya rasa munafik adalah sesuatu yang boleh diketengahkan," katanya.

Sebagai menghargai sokongan penonton, Syamsul menyatakan dia juga membuat 'retweet' terhadap komen penonton menerusi Twitter.

"Kalau boleh saya nak retweet semua supaya orang yang memberi komen yang baik dan sokongan terhadap Munafik 2, mereka rasa dihargai dan salah satu saya hargai peminat adalah retweet.

"Saya nak beritahu, saya menghargai dan menghormati mereka yang menonton filem ini sehingga sanggup beratur dan telefon saya juga jem sebab banyak sangat 'notifications'," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi