Pelawak dan pelakon Shuk (Balas) akui seronok melihat anaknya Nur Qurratu Ain yang hampir berusia dua tahun membesar depan mata.

Kata Shuk, kehadiran anaknya itu dianggap sebagai satu nikmat dan juga keajaiban yang dikurniakan kepadanya dan juga isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah.

“Alhamdulillah kehidupan saya sempurna. Ada anak memang seronok lebih-lebih lagi bila kita dapat lihat dia membesar depan mata, rasa macam ajaib.

“Mana tidaknya bila dia lahir pun saya yang sambut, jadi dah semakin besar ni kadang-kadang bila fikir kembali rasa macam tak percaya pula,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu mengulas mengenai kerjaya lakonan, Shuk memberitahu dia perlu memilih beberapa tawaran yang diberikan kerana komitmennya sebagai penyampai radio.

“Saya dah jarang berlakon kerana komitmen saya sebagai penyampai radio. Bukan apa, jadual kerja saya agak sukar untuk dipadankan dengan jadual artis lain.

“Kadang-kadang bila mereka free, saya pula tidak dan begitulah sebaliknya. Jadi daripada buat orang lain menunggu lebih baik saya tolak.

“Tawaran berlakon memang ada cuma saya tidak mahu susahkan orang lain. Kalau penggambaran yang perlukan bilangan hari yang sedikit saya akan terima,” ujarnya.