Filem Pearl Harbor Sampaikan Mesej Patriotik Berguna Pada Semua Penonton Di Seluruh Dunia

Hiburan
Filem Pearl Harbor Sampaikan Mesej Patriotik Berguna Pada Semua Penonton Di Seluruh Dunia
Filem Hollywood, Pearl Harbor yang membawa kisah tentera Jepun menyerang pangkalan tentera laut Amerika Syarikat pada tahun 1941 menjadi naskhah terbaik sebagai rujukan filem patriotik.
 
Pensyarah Kanan Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohd Syuhaidi Abu Bakar berkata, filem tersebut sebenarnya dekat di hati kerana mempunyai kaitan dengan negara kita sendiri yang pernah dijajah tentera Jepun.
 
"Kita boleh kaitkan dengan keganasan tentera Jepun. Sebagai penonton juga boleh faham bagaimana penyeksaan dilakukan mereka dan filem ini membuatkan kita terfikir nasib baik negara kita tidak sebegitu tapi tidak bermaksud serangan ke atas Tanah Melayu dulu tidak teruk kerana saya fikir keadaan di Pearl Harbor lebih teruk," katanya kepada Astro Gempak.
 
Baginya, penonton melihat impak besar pada negara Matahari Terbit itu akibat apa yang dilakukan tentera Jepun ke atas Pearl Harbor dan akhirnya mereka diserang kembali.
 
"Akibat kisah Pearl Harbor juga dan selepas itu Jepun menyerah kalah dan negara kita juga selamat.
 
"Filem ini membawa mesej kuat seperti kita perlu ada risiko yang boleh dijangka apabila membuat sesuatu termasuk dari segi perlakuan dan keputusan sama ada perkara kecil sehingga besar," katanya.
 
Beliau percaya kisah Pearl Harbor memberi pengajaran berguna pada Jepun untuk tidak melakukan kesilapan itu lagi dan itu adalah kali terakhir mereka melakukan serangan ke atas Amerika Syarikat.
 
"Mungkin jika tiada serangan Pearl Harbor, kita terus dijajah Jepun atau British.
 
"Jepun banyak belajar daripada kesilapan tersebut iaitu tidak sepatutnya menyerang Pearl Harbor atau Amerika Syarikat sehingga Hiroshima dibom," katanya.
 
Ujarnya, kisah ini juga perlu diambil iktibar negara kita mahupun negara lain sebab apabila melakukan serang ke negara lain, perlu difikirkan akibatnya.
 
"Pada ketika itu, saya juga dapat pengajaran kita jangan mudah memandang rendah pada orang lain, lawan kita tak kuat meskipun negara kecil kita boleh lakukan lebih baik.
 
"Ada cara lain untuk kita maju atau ke belakang sedikit untuk fikir kemampuan," katanya.


 
Meskipun mengangkat filem luar negara sebagai contoh filem patriotik terbaik, beliau mengakui faktor produser tidak mendapat slot tayangan filem pada Hari Kebangsaan seperti mana diperkatakan Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen ada kebenaran (Baca lagi: Produser Tempatan Tidak Lagi Berani Buat Filem Patriotik Sebab Tiada Jaminan)
 
"Sangat susah untuk menghasilkan sebuah filem patriotik yang menarik. Mungkin selepas 61 tahun merdeka, kita kurang sentimen bersyukur lagipun ketika ini kehidupan masyarakat bertambah baik jadi mereka tidak dapat kaitkan dengan kesusahan sehingga mereka yang lahir selepas zaman kemerdekaan tidak kisah sejarah negara.
 
"Mungkin mereka yang berusia 61 tahun ke atas merasai makna merdeka kerana pernah melalui pengalaman zaman lalu," katanya.
 
Akuinya, sukar untuk menentukan 'resipi' sesebuah filem patriotik tempatan boleh sukses.
 
"Dulu saya teringin nak tengok filem patriotik daripada Allahyarham Yasmin Ahmad.
 
"Teringat iklan Petronas yang dihasilkannya dan terfikir kenapa dia tidak panjangkan iklan itu kepada filem.
 
"Filem-filemnya sangat bagus sebagai rujukan seperti Talentime yang menggambarkan nilai muhibbah pelbagai kaum. Cara dia sampaikan begitu menarik seperti duit bukan segalanya tapi jika kita mempunyai keluarga bahagia sudah mencukupi," katanya.
 
Teks oleh: Elrafaei Sapi
 

Artikel Berkaitan