Pelakon Hairul Azreen mengakui teruja untuk menantikan tayangan filem PASKAL The Movie yang bakal menerjah pawagam pada 27 September ini.

Menerusi filem ini, Hairul membawakan watak seorang seorang anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia bernama Arman.

"Saya sudah membintangi pelbagai karya tetapi untuk filem PASKAL The Movie, memang saya sangat teruja. Saya sanggup menghadiri kelas lakonan kerana mahu buat persiapan untuk watak Arman.

"Saya rasakan filem ini berbeza berbanding naskah yang pernah saya lakonkan sebelum ini, jadi saya sangat teruja menantikan tayangan filem ini," kata Hairul.

Tambah suami kepada pengacara Hanis Zalikha ini, cedera ketika melakonkan babak-babak aksi dalam filem ini tidak menghalang dirinya untuk memberikan lakonan yang sehabis baik.

"Kecederaan ringan merupakan satu perkara yang biasa sekiranya menjayakan filem aksi. Itu tidak menghalang saya untuk memberikan sepenuh usaha dan tenaga dalam menjayakan watak Arman," katanya.

Diadaptasikan dari kisah benar, PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan pasukan elit itu dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Selain Hairul, filem itu dibintangi oleh Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini yang bakal ditayangkan bermula 27 September ini!