Pelakon Jasmine Suraya Chin berbesar hati kerana menjadi antara 'bunga' dalam kalangan puluhan 'kumbang' dalam filem PASKAL The Movie.

Bergandingan dengan ramai pelakon dan tenaga produksi lelaki, Jasmine tidak kekok kerana mereka memberikan layanan yang baik kepada dirinya.

"Menjadi salah satu pelakon wanita dalam puluhan pelakon dan krew lelaki tidak membuatkan saya kekok, saya okay sahaja.

"Mereka memberi layanan yang baik kepada saya dan semuanya sama rata. Semuanya sudah menjadi kawan saya dan tidak terasa sebarang perbezaan pun," katanya.

Tambah Jasmine, dia gembira kerana terlibat dalam filem ini kerana ia mengangkat kisah perwira negara.

"Saya gembira kerana dapat terlibat dalam filem PASKAL The Movie. Biarpun saya tidak memegang watak utama, filem ini harus diberi perhatian kerana ia memaparkan kisah kesungguhan wira kita dalam mempertahankan negara," katanya.

Diadaptasikan dari kisah benar, PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan pasukan elit itu dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Selain Jasmine, filem itu dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini yang bakal ditayangkan bermula 27 September ini!