Pelakon dan pengacara Karl Shafek Ibrahim ditahan di wad akibat demam panas sejak Ahad lalu.

Menurut Shafek, 38, dia terpaksa ditahan di KPJ Damansara untuk dipantau oleh pegawai perubatan.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin baik dan sudah dibenarkan pulang ke rumah.

"Doktor menahan saya di wad kerana bimbang jangkitan Influenza atau denggi namun syukur semuanya negatif.

"Saya disahkan demam panas, dehidrasi dan terlalu penat bekerja," katanya kepada Gempak.

Shafek yang baru pulang dari Bangkok, Thailand atas urusan kerja tidak menyangka sakit kepala yang dialaminya berlarutan hingga berhari-hari.

"Ahad lepas saya mula sakit kepala. Rasa macam nak pecah, nak bangun pun tak larat.

"Akhirnya selepas tiga hari masih sama, saya gagahkan diri ke hospital juga," tambahnya.

Rawatan susulan masih diberikan kepada pelakon filem Zaiton Ceritaku itu sehingga pulih sepenuhnya.