Filem genre patriotik tidak hanya bersandarkan kisah peperangan mahupun mengangkat hero yang pernah berjuang untuk negara tapi lebih pada semangat spiritual dalam diri sendiri untuk merdeka.

Ketua Pusat Pengajian Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Norman Yusoff berkata, filem berjudul The Clay Bird dari Bangladesh arahan Tareque Masud menjadi contoh terbaik sebagai sebuah filem yang membawa semangat patriotisme yang tinggi pada penonton.

"Filem ini bukan bersifat komersial tapi banyak bercerita tentang masyarakat, budaya dan sejarah. Menariknya, latar cerita adalah pada penghujung tahun 1960-an sebelum kemerdekaan Bangladesh yang lebih dikenali sebagai Pakistan Timur," katanya pada Astro Gempak.

Jelasnya, ketegangan politik disebabkan perbezaan etnik antara Pakistan Barat yang lebih pada keturunan Sindhu dan Punjabi walaupun Islam manakala Pakistan Timur terdiri daripada etnik bernama Bengali.

"Pada tahun 1971, Bangladesh mencapai kemerdekaan. Ada perang kemerdekaan Bangladesh pada waktu itu apabila Bangladesh keluar dari Pakistan membentuk sebuah negara merdeka.

"Menariknya filem ini, ia tidak dibuat seperti filem Hollywood atau filem kita mengenai sejarah yang menunjukkan peperangan tapi mempunyai fokus sangat domestik pada cerita sebuah keluarga iaitu dari sudut pandangan seorang kanak-kanak yang dihantar ke sekolah agama, Madrasah," katanya.



Tambahnya, karakter bapa kanak-kanak itu menjadi seorang muslim yang tegas sehingga anaknya berdepan masalah fahaman terhadap Islam yang berbeza daripada mahzhab lain.

"Pakcik kanak-kanak itu pula terlibat dalam gerakan memperjuangkan kemerdekaan Pakistan Timur.

"Cerita filem ini tampil mantap kerana ianya berlapis. Pengarah Tareque Masud umpamanya mempersoalkan erti kemerdekaan pada beberapa peringkat.

"Pertama, peringkat domestik iaitu kanak-kanak dan ibunya sering dikongkong bapa. Kedua, peringkat politik dan kenegaraan, pemisahan Pakistan Timur dengan Pakistan Barat yang membentuk Bangladesh.

"Ketiga, peringkat spiritual yang dikiaskan menerusi simbol burung tanah liat dan beberapa lagu rakyat Bengali yang berorientasikan Sufi-Islam yakni berkaitan roh atau jiwa yang terperangkap dalam jasad," katanya.

Akuinya, kisah sebegini tiada dalam filem tempatan yang mengetengahkan subjek sejarah negara yang lebih kepada kisah perang atau mengangkat hero.

Teks oleh: Elrafaei Sapi