Buat julung kalinya, ERA Sabah mempersembahkan lapan episod drama kompak digital baharu yang berjudul Sesal Tak Bernoktah.

Drama ini menampilkan bakat-bakat lakonan penyampai-penyampai radio ERA Sabah seperti Jay Jay, Addnan, Lopz, Mijul, Kim, Emma dan Samantha.

Turut membintangi drama ini adalah Team Bradaa, kumpulan orang berpengaruh yang terkenal dengan video-video pendek seperti Hargailah Seorang Lelaki, Hargailah Setiap Wanita dan Cinta 3 Segi yang kian mendapat perhatian penggiat media sosial.

Sesal Tak Bernoktah adalah sebuah drama yang mengajar erti sebenar dan nilai hubungan percintaan dan juga persahabatan.

Kisah sepasang suami isteri yang dibelenggui masalah dengan kehadiran orang ketiga yang memecah-belahkan hubungan mereka, drama yang sarat dengan makna tersirat ini mengetengahkan pengajaran yang mengukur nilai kesabaran, kesetiaan dan kejujuran sesebuah pertalian.

Siaran episod baharu untuk drama digital kompak Sesal Tak Bernoktah akan ditayangkan pada setiap Isnin dan Jumaat bermula 17 September, selama empat minggu secara eksklusif di laman media sosial (Facebook dan Instagram) ERA Sabah dan Team Bradaa.

Lebih menarik, ERA Sabah ingin menjemput peminat-peminat ERA Sabah dan Team Brada untuk menonton episod akhir drama Sesal Tak Bernoktah bersama barisan pelakon siri ini di GSC Suria pada 13 Oktober 2018.



Untuk memenangi tiket ke tayangan istimewa Sesal Tak Bernoktah, peminat hanya perlu mendengar isyarat memanggil di ERA Sabah bermula pada 8 Oktober dan jadi pemanggil terpantas untuk menjawab soalan berdasarkan drama tersebut.

Pemanggil yang berjaya menjawab soalan dengan tepat akan memenangi empat tiket istimewa untuk menghadiri tayangan istimewa episod akhir Sesal Tak Bernoktah.

Lebih mengujakan lagi, runut bunyi drama ini yang turut dinamakan Sesal Tidak Bernoktah telah ditulis dan dihasilkan oleh penyampai radio ERA Sabah, Kim Azizd.

Kim akan berduet dengan Emma Suhaimi untuk mempersembahkan lagu tersebut semasa tayangan istimewa episod terakhir kelak.

Jangan lupa saksikan drama kompak digital ERA Sabah berjudul Sesal Tak Bernoktah yang akan ditayangkan mulai 17 September 2018 pada jam 8 malam.