Pelakon Mimi Rahzia berdepan detik mencemaskan apabila rumahnya terbakar ketika dia bersama anak-anaknya dan pembantu rumah berada di dalam rumah itu.

Bercerita mengenai kejadian itu, Mimi memberitahu menerusi akaun Facebooknya hari ini, pada masa kejadian dia berada di dalam bilik tidur sedang menyiapkan tugasan.

"Saya percaya kebakaran sudah berlaku lama kerana tiada siapa yang sedar. Tiada bau, tiada bahang panas dan tiada siapa bunyikan loceng," katanya.

Ujarnya, salah seorang anaknya Rayyan berada di ruang tamu seorang diri manakala seorang lagi, Rayhan bersama pembantu rumah masuk tidur.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi cermin pecah dari tingkat atas. Saya tertanya-tanya sebab bunyi terlalu kuat.

"Apabila saya buka pintu depan ternampak orang ramai berkumpul di depan untuk mengambil gambar, video dan menjerit sambil memberitahu ada kebakaran," katanya.

Mimi bernasib kerana sempat menyelamatkan diri bersama anak-anaknya dan pembantu rumah.

"Saya beritahu pembantu rumah bawa anak-anak keluar dan saya sempat mengambil beg tangan, beg sekolah, komputer riba dan berlari membawa keluar Mercedes dan Lexus.

"Saya tidak sangka kebakaran besar berlaku," katanya.

Akibat kebakaran itu yang berlaku jam 4 petang, Mimi mengakui ramai kenalan menghubunginya sejak semalam untuk bertanya khabar.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook - Mimi Rahzia