Pelakon Ozlynn terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan selepas melahirkan anak yang kelima, Chantiq Moleiq.

Menurut Ozlynn, walaupun dia mempunyai pembantu rumah, anak-anak masih berada di bawah jagaannya.

"Selalunya, paling lama tinggalkan bayi dalam empat jam sahaja kerana dia masih menyusu badan.

"Oleh sebab itu, saya tidak menerima tawaran yang memakan masa agak lama kerana ingin menjaga sendiri anak-anak.

"Sekarang ini bila ada pembantu rumah keadaan lebih teratur di rumah. Jika saya ingin memasak, dia akan membantu melakukan hal yang lain," kata Ozlynn.

Ozlynn ditemui di Perlawanan Persahabatan Bola Sepak antara Pilihan YB Syed Saddiq dengan Dugong All Stars di Stadium Muar, Johor baru-baru ini.

Tambah isteri kepada penyampai radio ERA, Johan ini, pembantu rumah seharusnya dilayan seperti ahli keluarga sendiri.

"Walaupun kami sekeluarga mempunyai pelbagai pengalaman dengan pembantu rumah sebelum ini, kami tidak pernah melayan mereka seperti hamba.

"Kami akan melayan pembantu rumah ini seperti ahli keluarga sendiri kerana mereka tidak mempunyai keluarga di sini," katanya kepada Gempak.