Pelakon Pekin Ibrahim memarahi Sabri Yunus kerana pengarah itu lupa dengan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.

Namun begitu, jangan cepat salah sangka kerana kejadian tersebut hanyalah merupakan salah satu babak yang terkandung dalam telefilem terbaru arahan Sabri, Wau Kasih.

Ditayangkan menerusi slot Karya 12, Wau Kasih menampilkan gandingan Pekin bersama Sabri, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ika Nabella dan ramai lagi.

“Menerusi Wau Kasih, saya membawa watak sebagai anak kepada Sabri, seorang pembuat wau. Watak ibu saya yang dilakonan oleh Sheila Mambo jatuh sakit.

“Namun begitu, bapa saya terlalu leka dengan tugasnya menyiapkan wau sempena sebuah perayaan yang bakal diraikan. Akibat daripada kejadian tersebut, konflik mula timbul dan saya memarahi bapa saya sendiri,” kata Pekin kepada Astro Gempak.

Gembira kerana dapat berlakon di bawah arahan Sabri, Pekin gemarkan tema kekeluargaan yang diangkat menerusi telefilem Wau Kasih.

“Saya suka dengan subjek yang cuba diketengahkan menerusi Wau Kasih. Hubungan anak bersama ibu bapa menjadi tunjang penceritaan naskah ini. Saya juga gembira kerana dapat bekerjasama dengan Sabri kerana dia merupakan salah seorang pengarah tersohor di Malaysia,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Pekin baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Surf This Love arahan Waan Hafiz. Pekin juga bakal menerbitkan sebuah feature documentary yang berjudul Madness of Borneo di bawah syarikatnya sendiri, KL Media House.

Jangan lupa saksikan telefilem Wau Kasih dalam slot Karya 12, malam ini (Sabtu), jam 10.00 malam di saluran Astro Citra (131) dan Mustika HD (134). Gunakan hashtag #Karya12 untuk berinteraksi mengenai telefilem ini di laman sosial.