Siapa sangka di sebalik kejayaan dan kebahagiaan kehidupan seseorang selebriti terselit kesukaran dan kisah pahit berjuang dengan masalah kemurungan.

Ya, model terkenal Alicia Amin serta penyanyi seperti Fynn Jamal dan Daiyan Trisha antara individu yang pernah bergelut dengan penyakit tersebut.

Bagaimanapun, masing-masing punyai cara tersendiri untuk mengatasi masalah depresi dan kaedah itu dikongsikan menerusi sebuah kempen dalam single terbaharu Daiyan Trisha, Kita Manusia.

Lagu yang dicipta sendiri bersama komposer terkenal Omar K kata Daiyan bertujuan menyampaikan mesej kesedaran tentang penyakit itu.

"Kita Manusia menceritakan kesedihan dan kekecewaan yang dialami oleh orang sekeliling kita. Pastinya setiap masalah ada cara menyelesaikannya.

"Ramai yang merahsiakan masalah mereka dan lagu ini saya harap dapat mendorong untuk bangkit semula meneruskan kehidupan.

"Saya menampilkan lapan individu yang paling rapat dengan saya seperti Alicia Amin dan Fynn Jamal untuk berkongsi masalah kemurungan yang pernah dihadapi. Semoga ia menjadi inspirasi kepada semua," katanya kepada Astro Gempak.

Selain Alicia Amin dan Fynn Jamal, enam individu lain yang terbabit dalam kempen sosial Kita Manusia ialah penyampai radio Hitz Fm, Melissa Thng, ‘cancer survivor’ Mukhlis Idris, ikon media sosial Hafreez Amminudin, penyanyi dan model Sasha Nicole, penyampai radio IM4U, Thevanesh Rao dan pembantu psikologi, Anis Khairil.





Lapan individu itu berkongsi pengalaman depresi menerusi kempen yang disiarkan melalui video pendek yang menggunakan tanda pagar (hashtag) #KITAMANUSIA.

Bagi menyemarakkan kempen tersebut, Daiyan bakal mengadakan satu showcase di The Bee, Publika pada 2 November (malam ini).

Showcase yang berlangsung selama satu jam itu akan turut memuatkan sesi perkongsian cerita di antara Daiyan dan peminatnya mengenai perihal depresi.



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @daiyantrisha, @hangriii, @fynnjamal