Pelakon Diana Amir mengakui masih bergiat aktif dalam bidang seni namun fokusnya kini lebih kepada bidang pengacaraan.

Menurut Diana, dia lebih selesa mengacara kerana menganggap kerjaya itu lebih sesuai dengan statusnya sekarang.

“Saya masih lagi aktif dalam seni, tetapi cara dan hala tujunya sudah berbeza daripada sebelumnya.

"Cuma sekarang saya lebih selesa bergelar hos dan Alhamdulillah, siri Bismillah Ad Duha akan menjalani penggambaran untuk musim terbaru tidak lama lagi.

"Ternyata bidang ini bukannya mudah seperti saya sangkakan. Tetapi bagi saya cabaran yang ada dalam bidang ini membuatkan saya berminat untuk menjadi seorang hos.

"Bagi saya pengacaraan ini memang seronok kerana kita dapat pelajari pelbagai informasi yang dikongsikan selain masa bekerja juga fleksibel," katanya kepada Astro Gempak.


Diana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Ikon Muslim Volunteers Malaysia 2018 (MVM), di De Palma Hotel, Shah Alam, baru-baru ini.

Pada sidang media tersebut, seramai lapan orang selebriti di umumkan sebagai Ikon Muslim Volunteers Malaysia 2018 (MVM).

Antaranya Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, Puan Dila Mubarak, Lah Ahmad, Datin Alyah, Diana Amir, Mila Jirin, Azmi Saat dan Syamel.

MVM merupakan organisasi yang membantu dan menghubungkan NGO-NGO lain dengan kerajaan, menghantar sukarelawan-sukarelawan yang ada ke NGO-NGO yang memerlukan serta membantu golongan keluarga fakir miskin, anak-anak yatim.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi