Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Farid Kamil hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) ke dalam badan, dua minggu lalu.

Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa.

Suami kepada pelakon Datin Diana Danielle didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari lalu.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pada 16 Januari lalu, pelakon filem Tombiruo itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dan mengganggu tugas penjawat awam di Balai Polis Kota Damansara, Khamis lalu.

Keempat-empat pertuduhan itu didakwa dilakukan oleh pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Sumber: Utusan Online
Foto: Hlive!