Penyanyi rap Altimet menafikan andaian sesetengah pihak yang mendakwa lagu Gong Nekara nyanyian Kmy Kmo bersama Luca Sickta mempunyai unsur sindiran yang ditujukan terhadap dirinya.

Ada sesetengah pihak mendakwa Gong Nekara merupakan lagu ‘serangan balas’ untuk Altimet yang mencipta sebuah lagu baru berjudul Mambang.


Sebelum itu, wujud sesetengah peminat muzik yang membuat andaian lirik lagu Mambang dicipta oleh Altimet untuk menyindir bekas ahli kumpulan Too Phat, Malique.

“Andaian yang dilakukan sesetengah pihak tak betul. Lagu Mambang tak menyebut sebarang nama dan lagu itu pun tak menyebut nama saya.


“Lagu Mambang saya cipta menerusi pengalaman sendiri. Saya menyindir diri sendiri, bukannya orang lain,” kata Altimet yang ditemui di majlis pelancaran album terbarunya yang berjudul Air di Timbre Kuala Lumpur semalam.

Menerusi album baru tersebut, Altimet menjadikan kata-kata aktor terkenal, Bruce Lee iaitu ‘Be Like Water’ sebagai tulang belakang penghasilan album Air.

“Buat julung kalinya, saya memberikan sepenuh kepercayaan kepada komposer untuk menentukan corak lagu dalam album tersebut.

“Kali ini, hanya lirik sahaja yang saya ciptakan. Saya hanya menjadi seperti ‘air’, mengikut apa sahaja yang ditetapkan oleh komposer. Apa yang penting, saya melakukannya dengan cara tersendiri dan mengikut kesesuaian diri.

“Menerusi karya-karya sebelum ini, saya menjaga semua proses penghasilan lagu mengikut citarasa sendiri. Untuk kali ini, saya biarkan sahaja.

“Sejujurnya, kadangkala orang lain boleh melihat apa yang terbaik untuk diri kita. Akhirnya, saya sangat berpuas hati dengan album Air,” katanya lagi.

Selain Mambang, lagu-lagu lain yang turut dimuatkan dalam album Air ialah Ngam, KL Wangan, Same Kind, Muda dan sebuah lagu berjudul Bunga yang menjadi single terbaru Altimet.

Album Air sudah boleh didengar dan didapati menerusi semua platform digital. Album fizikal pula bakal menemui peminat muzik bermula 1 April ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @zamirmahadi