Pengarah filem dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki menggesa agar pelawak-pelawak tempatan mempunyai integriti dengan tidak menciplak idea orang lain ketika membuat persembahan.

Tegasnya, platform seni seperti hiburan dan komedi adalah cara lebih mudah untuk mendedahkan pada khalayak mengenai kepentingan nilai integriti.

Afdlin menambah, pentas komedi mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri dalam menyampaikan mesej yang lebih berat seperti kepentingan budaya integriti.

“Mereka yang terlibat dalam komedi mempunyai kelebihan. Mereka lebih ‘powerful’ berbanding mereka yang terlibat dalam politik kerana mereka menghiburkan khalayak dengan menyediakan konteks dan ini kelebihan mereka,” katanya seperti dipetik daripada majalah, Integriti terbitan Institut Integriti Malaysia, edisi Februari 2018 yang baru diterbitkan.

Pelawak, Nizam Jentik-Jentik pula berpandangan banyak ruang dan peluang yang boleh menjurus pada kemungkinan pelanggaran integriti boleh berlaku.

Malah, dia mengakui tidak perlu meniru jenaka pelawak lain untuk membuat persembahan.

“Saya kena jadi saya. Kita kena jadi kita, tak perlu menjadi orang lain,” katanya.

Akuinya, keluarga adalah tempat penting dalam memupuk budaya berintegriti.

“Misalnya, saya beritahu anak saya, bila hendak membuang sampah, jika tidak ada tong sampah, saya akan minta mereka jangan buang sampah merata tempat, simpan dalam poket sehingga jumpa tong sampah. Ini antara nilai yang kita perlu tekankan,” katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi