Anak sulung pasangan penyanyi Nora Ariffin bersama komposer, Allahyarham Johan Nawawi iaitu Syakir Iman meneruskan perjuangan seni ayahnya dalam bidang penerbitan buku dan video animasi.

Dia kini yang bertugas sebagai Eksekutif Jualan dan Pemasaran, Hud Hud Media membantu ibunya menguruskan bisnes syarikat keluarganya itu.

Syakir mengakui jenama Ummi yang sinonim dengan penerbitan untuk buku dan video animasi berjaya menarik perhatian khalayak khususnya kanak-kanak untuk mengikutinya.

"Saya percaya meskipun jenama Ummi itu kuat tapi ia bukan mahu mengejar populariti sebaliknya menyebarkan dakwah sepertimana pesan arwah ayah," katanya kepada Astro Gempak.

Jenama Ummi sebelum ini pernah menerbitkan buku Belajar Solat Bersama Ummi, pada tahun lalu manakala terbaru, buku Kad Imbas Belajar Abjad, Alphabet dan Jawi Bersama Ummi.

"Paling laris Kad Imbas Belajar Jawi Bersama Ummi kerana kebiasaannya ibu bapa ada buku mengenai abjad dengan alphabet.

"Menariknya, buku ini mengandungi 'Augmented Reality' (AR) 3D yang membolehkan kanak-kanak membaca secara interaktif menerusi aplikasi Jom Belajar," katanya.

Ujarnya, produk terbaru ini yang turut bekerjasama dengan Karangkraf akan dilancarkan secara rasmi di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 5 Mei ini.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak