Pensyarah filem, Dr Ahmad Ibrahim mahu kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) terus memberi perhatian pada masa depan graduan dalam industri perfileman agar lebih banyak peluang baru dapat diwujudkan.

Jelasnya, seperti kekuatan sebuah filem berpandukan skrip yang bagus, elemen jati diri dan panduan khusus perlu diterapkan pada pelajar dan graduan perfileman sebelum berkarya.

"Kerajaan harus beri latihan khusus dan bantuan kewangan untuk graduan ini menghasilkan karya mereka. Malah, mereka juga sepatutnya diberi latihan profesional untuk lebih berdaya saing," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, jika dianggarkan FINAS kini mempunyai 600 produser filem dan drama, ia berupaya dalam melatih dan membentuk graduan perfileman menjadi karyawan seni yang mampu menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.

"Penggiat seni sedia ada juga perlu melatih graduan ini dengan pengalaman mereka," katanya.

Beliau yang juga Sarjana Kreatif di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan filem adalah satu komoditi yang dapat menjana ekonomi negara yang boleh dianggap staraf dengan produk seperti petrol dan kelapa sawit yang dieksport ke peringkat antarabangsa.

"Sebelum ini FINAS mempunyai Content Malaysia Pitching Centre (CMPC) yang membantu penggiat seni tetapi akibat wujud unsur politik maka lahirlah filem tidak berkualiti.

"Pusat ini sepatutnya bertanggungjawab dalam memberi pentauliahan kepada penggiat seni sama ada mengikut kategori arus perdana, graduan mahupun pembikin filem muda," katanya.

Ujarnya, jika usaha membantu dan membangunkan graduan ini diberi penelitian, industri perfileman tempatan bakal menyaksikan perubahan pada kualiti filem yang dihasilkan seterusnya membantu penggiat seni tanah air bersaing di peringat global.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Creative Writing FiTA, UiTM (Facebook)