3 Gadis Manis
Enggan Guna Kekayaan Keluarga, Cristina Suzanne Sanggup Sewa Bilik Sendiri
Walaupun mempunyai latar belakang keluarga yang kaya, aktres Cristina Suzanne enggan menggunakan kelebihan tersebut.
Cristina tidak mahu tinggal bersama keluarga malah dia sanggup menyewa sebuah bilik bersama dua gadis lain.
Jangan terkejut kerana situasi tersebut hanyalah merupakan watak yang digalas oleh Cristina dalam drama mini bersiri digital berjudul 3 Gadis Manis yang bakal bersiaran di laman web Astro Gempak.
"Saya memegang watak Nadya, seorang gadis yang tidak bergantung dengan keluarga. Walaupun keluarga Nadya kaya, dia tidak tinggal bersama keluarga dan sanggup menyewa sendiri.
"Nadya berpewatakan sedikit tomboy. Sikap Nadya yang straight forward kadangkala membuatkan orang menganggap Nadya seorang yang biadap. Nadya tidak biadap tetapi dia hanya menjadi dirinya sendiri yang suka berterus terang," kata Cristina kepada Astro Gempak.
Sering membawakan watak gadis berpenampilan tomboy, Cristina memberikan sentuhan berbeza terhadap watak Nadya dalam 3 Gadis Manis.
"Saya akui saya pernah membawakan watak sebegini tetapi setiap watak yang saya bawakan berbeza. Menerusi 3 Gadis Manis, saya warnakan watak Nadya berbeza dari segi pakaian, intonasi suara dan reaksi yang diberikan," katanya lagi.
Selain Cristina, 3 Gadis Manis turut membariskan Ayda Jebat, Mira Filzah, Dottie dan Alvin Chong.
Jangan lupa saksikan drama bersiri 3 Gadis Manis yang bakal disiarkan sepenuhnya menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my mulai 8 Mac ini.
Teks oleh: Kamaruddin Razal