3 Gadis Manis
Menyanyi Di IG, Tak Bermakna Mahu Jadi Penyanyi - Mira Filzah
Meskipun gemar menyanyi di laman sosial Instagram (IG), namun pelakon Mira Filzah akui tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi secara serius.
Mira Filzah berkata, dia masih belum berkeyakinan untuk merakamkan album atau single seperti penyanyi profesional yang lain.
Tambahnya lagi dia lebih selesa menjadikan nyanyian itu sekadar suka-suka serta mengisi masa lapang.
"Buat masa ini saya belum terfikir untuk serius dalam bidang nyanyian, malah tiada keyakinan pun untuk menjadi penyanyi.
"Kalau sekadar menyanyi lagu Bollywood secara santai di laman sosial, seperti sebelum ini itu lain. Menyanyi di Instagram tak bermakna saya mahu jadi penyanyi.
"Saya tak ada cita-cita nak jadi penyanyi dan sekarang saya mahu fokus pada lakonan sahaja dahulu.
"Lagipun, saya bersikap realistik dalam hal ini, tidak perlulah tamak melakukan perkara yang bukan menjadi keutamaan kita," katanya kepada Astro Gempak.
Pun begitu, sebelum ini Mira ada merakamkan suara bagi lagu tema drama, Meh Sandarkan Pada Aku, siaran TV3. Menerusi lagu terbabit, dia telah berduet dengan bintang utama drama itu, Aliff Aziz.
Mengenai perkembangan lain, Mira bakal muncul dalam drama mini menerusi platform digital berjudul 3 Gadis Manis yang akan bersiaran menerusi Astro Gempak atau layari www.3gadismanis.com.my bermula 8 Mac ini.
Bercerita mengenai pengalamannya berlakon dalam drama enam episod itu, Mira memberitahu ia pengalaman penggambaran yang menyeronokkan meskipun hanya mengambil masa tiga hari.
"Kami menjalani penggambaran yang agak singkat, jadi masa terhad dan kami terpaksa menjalani penggambaran sehingga lewat malam.
"Tapi sangat seronok kerana semua pelakon bukan sahaja hebat tetapi mereka kelakar dan membuatkan kami tidak terasa penat," katanya lagi.
Drama enam episod itu turut dibintangi pelakon seperti , Cristina Suzanne, Dottie dan Alvin Chong.
Teks oleh Syafiqah Jalal
Must-Watch Video