Sekilas
- Nad Zainal berkongsi babak menendang Izzue Islam dalam drama ‘Bahagia Yang Tertangguh’ adalah hasil perancangan awal bersama pengarah Osman Ali dan Izzue.
- Babak asal hanya melibatkan tamparan, tetapi Nad mencadangkan aksi menendang untuk menggambarkan wataknya yang sedang berebut anak.
- Nad menekankan pentingnya persetujuan dan latihan bersama pelakon dan pengarah sebelum melakonkan aksi fizikal agar suasana di set kekal hormat dan seronok.
Babak memperlihatkan pelakon Nad Zainal menendang pasangan gandingannya iaitu Izzue Islam dalam drama ‘Bahagia Yang Tertangguh’ menarik perhatian penonton.
Menurut Nad yang melakonkan watak sebagai Hana, babak tersebut sudah dirancang awal bersama pengarah Osman Ali dan Izzue.
“Kisah sebenarnya… ikut skrip Hana hanya menampar Zakwan. Babak sebelum itu saya di lantai, Izzue letak kaki atas sambil cakap ‘pijak kau kang’. Itu pun tambahan.
“Kita ikut kesesuaian babak… abang Osman pun amat terbuka kalau ada yang kita nak tukar ikut kesesuaian. Saya cakap dekat abang Osman, babak itu saya tengah berebut anak.
“Kalau bab anak, Hana akan jadi singa. Tangan tak sempat capai, tak sama. Saya rasa nak lagi puas hati naik kaki dan Izzue pun setuju,” kata Nad kepada Gempak.
Kata isteri kepada aktor Ungku Ismail ini, dia berpendapat untuk melakonkan aksi seperti itu perlulah persetujuan daripada pihak pengarah dan pasangan gandingan.
“Tapi aksi itu bukan buat betul-betul. Saya dah rancang awal-awal dengan Izzue. Sebab kita kenalah hormat pasangan lakon kita. Jangan waktu nak rakam itu tiba-tiba naik kaki.
“Itu boleh hilangkan rasa hormat dan keseronokkan di set. Jadi memang saya dan Izzue berbincang dahulu untuk lakonkan aksi itu.
“Tapi kalau buat tanpa berbincang, itu kira macam aniaya pelakon lain, itu yang tak best. Sebelum ini dengan Remy Ishak pun saya berbincang dulu untuk buat babak melibatkan pukul ni. Remy pun okay.
“Bila dah berbincang dengan pelakon, kita tanya pengarah pula… bila dah ada persetujuan, tengok latihan okay, barulah diteruskan,” katanya.