Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

ATNMY: Rupa-Rupanya Ada Cerita Sebelum Deena Mazmee Nyanyikan Lagu Ikut Rentakku!

Asraf Aided
30/09/2021 13:10 MYT
Pemenang konsert minggu ketiga All Together Now Malaysia (ATNMY), Deena Mazmee mahu menjadikan program tersebut sebagai paltform untuk mengembangkan bakatnya.

Menurut Deena yang memperoleh 98 markah selepas mempersembahkan lagu Ikut Rentakku nyanyian asal Jaclyn Victor, dia berharap agar orang ramai mengenali dirinya serta melihat pada bakat yang dimiliki.

"Harapan saya selepas menyertai ATNMY, semestinya nak kembangkan lagi bakat nyanyian, program ini menjadi platform yang baik untuk saya berbuat demikian.

"Mungkin sebelum ini orang tak tahu siapa saya, jadi, harapan saya memang nak orang nampak dan hargai bakat yang saya ada," katanya kepada Gempak.

Bercakap tentang persediaan, Deena menitikberatkan aspek susunan lagu yang harus dipendekkan daripada versi asal dengan bantuan rakannya.

"Sebagai persediaan, saya minta tolong kawan untuk buat susunan lagu kerana lagu asal lebih panjang daripada waktu persembahan 90 minit. Kemudian fikir tentang baju pula, risau juga sebab sebelum ini pakai biasa-biasa dan ini adalah program realiti pertama yang saya sertai.

"Aspek solekan pun harus dititikberatkan selain rasa risau nak menyanyikan lagu Jaclyn Victor yang memang power. Pada awalnya saya menyanyi lagu itu, saya rasa tak boleh, tapi lepas dibantu cikgu vokal, Alhamdulillah saya boleh mempersembahkannya," katanya lagi.

Sedikit info mengenai Deena, dia merupakan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang memiliki diploma dan ijazah sarjana muda dalam bidang muzik.

Selepas tamat pengajian, Deena aktif menyanyi dalam kumpulan (band, koir dan menyertai beberapa pertandingan nyanyian dan akhirnya bertemu rezeki di pentas ATNMY.

Jangan lupa saksikan ATNMY setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria.

Ia juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan kemudahan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

#All Together Now Malaysia #ATNMY #Deena #Deena Mazmee
;