Penyanyi muda, Harris Alif, 20, telah tampil dengan single terbarunya yang berjudul Pencinta.

Single ini merupakan ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi, penulis lirik dan komposer terkenal, Ajai.

Lagu ini berkonsepkan pop yang berentak 'moderate' dan Harris telah berjaya membawakan lagu tersebut dengan baik dan proses rakamannya hanya memakan masa selama satu hari.

Menurut Ajai, Harris mempunyai suara bernada romantik dan sesuai didengar oleh kaum wanita.

"Nada suara Harris ini romantik, jadi saya cuba keluarkan sebuah lagu yang boleh cairkan jiwa pendengar terutamanya kaum wanita.

"Harris beruntung kerana bermula di usia muda dan mempunyai bakat serta potensi yang cerah," kata Ajai ketika ditemui di majlis pelancaran single Pencinta bertempat di Dorsett Kuala Lumpur petang tadi.

Dalam majlis yang sama, Harris mengatakan dia tidak akan berputus asa sekiranya lagu tersebut kurang mendapat sambutan dari pendengar.

"Saya berharap agar lagu ini mendapat penerimaan yang positif dari pendengar, namun begitu, jika sebaliknya, saya tidak akan berputus asa dan akan terus menghasilkan karya dalam industri seni ini," katanya kepada Gempak.

Sebelum ini, Harris pernah muncul dan memenangi beberapa program realiti seawal usia 11 tahun, antaranya adalah juara Bintang Kecil 2009 dan juara Idola Kecil pada tahun 2010.

Single Pencinta ini telah mendapat kerjasama daripada pihak Sony Music Malaysia selaku pengedarnya, ia boleh didapati di platform digital. Lirik video rasminya juga telahpun berada di laman YouTube.