Syarikat pengurusan bakat Rocketfuel semalam mengumumkan bahawa mereka mempunyai 220 orang bakat di bawah pengurusan mereka yang terdiri daripada pelakon, penyanyi, influencers serta pemain-pemain di bidang e-sukan.



Salah seorang bintang antarabangsa di bawah pengurusan Rocketfuel, Chaleeda Gilbert bukan sahaja hebat dengan nyanyiannya tetapi kini menempa kejayaan baru apabila dipilih untuk membintangi sebuah siri Netflix Original berjudul The Stranded.

Siri tersebut diarahkan oleh Jim-Sophon Sakdaphisit yang mengarahkan The Promise serta Shutter, dan diterbitkan oleh calon Oscar Gary Levinhson (12 Monkeys, Saving Private Ryan).

Selain itu, Rocketfuel turut mendapatkan artis terbaru antarabangsa kelahiran United Kingdom, Ash Stymest.


Model, pelakon dan bakal penyanyi yang berpengkalan di Los Angeles ini baru sahaja menandatangani perjanjian global bersama Interscope Records North America (Eminem, Blackpink, Selena Gomez) dan Universal International dan bakal keluar dengan EP pertama tidak lama lagi.



Turut membanggakan apabila bintang tempatan, Masya Masyitah bakal ke China untuk bertanding dalam rancangan realiti yang cukup popular di sana, The Coming One (musim ketiga).

Lebih menarik lagi, 16 Baris yang bermula sebagai projek kolaborasi antara Rocketfuel Entertainment dan Kartel Records dan dihoskan oleh Joe Flizzow dan DJ Cza kini menembusi Thailand.



16 Baris Thailand atau Sip Hok Bar akan dihoskan oleh bintang hebat dari Thailand, Daboyway dan DJAY Buddah dari Thaitanium bakal menampilkan 45 penyanyi rap terunggul Thailand.

Malah, Rocketfuel juga akan bekerjasama dengan rakan perniagaan di Australia untuk melancarkan 16 Bars Australia dan New Zealand tidak lama lagi.



Antara artis-artis popular di bawah pengurusan Rocketfuel Entertainment adalah Lisa Surihani, Zizan Razak, Hael Husaini, Hisyam Hamid, Syamel, Ernie Zakri, Ara Johari, Aisyah Aziz, Ummi Nazeera dan ramai lagi.