Pelakon Intan Ladyana memilih untuk tidak berkongsi mengenai hal peribadi kepada umum.

Menurut Intan dia akan membuka mulut serta memberi komen apabila sudah sampai masanya.

"Ada atau tidak (kekasih), biarlah masa yang menentukannya.

"Apabila tiba masanya nanti, pasti saya akan membuka mulut berkongsi kepada umum mengenai perkara ini.

"Buat masa ini, tidak ada apa-apa yang perlu saya katakan.

"Memang dari dulu lagi saya kurang gemar berkongsi hal peribadi.

"Bagi saya, cerita peribadi adalah hanya untuk saya," katanya kepada Gempak.

Intan ditemui sejurus usai Majlis Rumah Terbuka Media Prima yang diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai semakin jarang kelihatan di kaca televisyen, pelakon filem Hantu Bungkus Ikat Tepi akui menginginkan watak yang belum pernah dijayakan sebelum ini.

"Saya masih menjalani kehidupan seperti biasa malah masih menerima tawaran berlakon.

"Sebelum Ramadan lalu saya menjalani penggambaran untuk telefilem Antara Dua Deru.

"Saya juga masih diundang menghadiri pelbagai majlis atau acara.

"Saya sebenarnya tidaklah bersikap terlalu memilih karya.

"Cuma sejak dahulu lagi saya tidak menerima banyak tawaran pada satu masa.

"Saya sebenarnya menginginkan watak atau katakter yang belum pernah dijayakan sebelum ini," katanya lagi.