Pelakon dan pengarah popular Sabri Yunus berkongsi kisah menarik apabila keletahnya dalam sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu telah menyelamatkan rumah tangga yang hampir berantakan.

Kata Sabri, dia didatangi sepasang suami isteri berterima kasih kepadanya selepas menonton sitkom terbabit.

"Sekitar awal 2000, setelah tiga tahun sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu tak lagi di televisyen, saya didatangi pasangan suami isteri ketika di pasar raya di Kuala Lumpur.

"Katanya saya telah menyelamatkan rumah tangga dia dan suami.

"Cerita wanita itu, pada suatu malam mereka bergaduh besar dan hampir bercerai.

"Suaminya lari keluar dan dia sendiri nekad 'biar habis malam ini'. Tiba-tiba dia tanpak suaminya tengah gelak ketika menonton sitkom itu.

"Wanita itu terdiam dan tengok lawak jenaka saya, ikut sama tergelak dan akhirnya duduk di sofa bersama suami gelak bersama sampai habis cerita," kongsi Sabri.


Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu pernah menjadi fenomena sekitar lewat 1980-an dan mengangkat watak-watak seperti Pak Uda, Mak Ngah, Ana, Lucy, Budin, Mat Over, Ravi dan Mat Deris.

Sitkom itu mengisahkan masyarakat di Flat Seri Wangi dan pernah dipentaskan di Istana Budaya sekitar 2006.