Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil pendekatan untuk tidak melatah dengan tindakan warganet yang sanggup 'menggali' harga kelengkapan basikalnya seperti yang telah tular di platform Twitter baru-baru ini.

Siti sebaliknya mahu semua pihak faham, apa yang dimilikinya hari ini bukanlah diperoleh dengan mudah kerana ia hasil kerja kerasnya sepanjang bergelar anak seni.

"Bagi yang sudah menceburi bidang basikal ini mereka tahulah mana bagus dan yang mana ringan semua.

"Soal gali harga, saya tak boleh lari sebab peminat atau orang ramai akan melihat apa yang saya pakai, saya guna, saya makan dan semualah.

"Namun apa yang saya tahu, ia bukanlah dapat dengan seronok-seronok sebab ia sebenarnya hasil kerja keras," katanya.

Menurut Siti lagi, kesemua kelengkapan itu sebenarnya diuruskan oleh suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa atau lebih mesra dipanggil Datuk K.

"Kalau bab kereta, motosikal atau basikal memang Datuk K minat. Dia akan 'enhance' dan ubah suai kenderaan itu.

"Basikal pun saya serahkan semua dekat Datuk K. Apa yang saya tahu, waktu kayuh basikal tu ringan," kata pelantun lagu Kasihku Selamanya.

Siti ditemui ketika majlis pelancaran Kayuhan Wanita 2019 di perkarangan pejabat Kementerian Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya, kelmarin.

Dalam majlis itu Siti dipilih sebagai Ikon Selebriti bagi mempromosikan program yang bakal berlangsung pada 26 Oktober ini.

Terdahulu isu harga basikal milik Siti mula menjadi perbualan netizen apabila seorang warga Twitter mendedahkan nilai jam tangan dipakai penyanyi itu.

Harga jam tersebut dikatakan bernilai lebih daripada setengah juta ringgit Malaysia!

BACA: "Sekali Dia Tunjuk, Tercampak Semua" - Harga Jam Mewah Tokti Curi Tumpuan Netizen, Mungkin Mencecah Hingga RM0.6 Juta!

Susulan itu, seorang lagi pengguna Twitter turut sama mencari harga tayar basikal yang digunakan Siti.

Rata-rata netizen terkejut apabila mendapati harga tayar basikal tersebut hampir sama dengan nilai sebuah kereta Proton Saga.

Anda boleh lihat posting tersebut di bawah.