Pelakon baru, Fad Anuar mengatakan dia tidak memerlukan kontroversi untuk membina populariti dalam industri hiburan tanah air.

Menurut Fad, dia lebih selesa dikenali ramai disebabkan kualiti lakonan, bukan aspek lain.

"Kalau boleh, saya nak orang kenal saya kerana kualiti, saya tak perlukan kontroversi.

"Walaupun masyarakat mahu membaca atau mendengar kontroversi mengenai artis, namun saya sendiri mahu menolak perkara sebegitu," ujarnya.

Fad berkata demikian ketika ditemui selepas Tayangan Perdana Filem Geran bertempat di e-Curve, Petaling Jaya malam tadi.

Dalam pada itu, Fad juga berhasrat untuk mengangkat martabat warisan Melayu dalam lakonannya selepas ini.

"Saya sangat menyukai warisan Melayu seperti pakaian tradisional dan seni pertahankan diri seperti silat.

"Saya mahu mengangkat warisan kita dengan menonjolkan dalam lakonan saya selepas ini," tambahnya.

Filem Geran arahan Areel Abu Bakar ini menampilkan aksi silat dan mengisahkan tentang masalah keluarga yang berhadapan dengan ugutan lintah darat.

Selain Fad, filem ini turut menampilkan Aeril Zafrel, Namron, Azlan Komeng dan ramai lagi.

Ia bakal menjengah pawagam bermula 10 Oktober ini, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!