Jenazah pengarah yang juga anak kepada aktres Fauziah Nawi, Pitt Hanif telah dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Menerusi laman sosial Facebook, Fauziah telah memaklumkan berita sedih itu yang disampaikan oleh adiknya yang kini berada di lokasi.

“Assalamualaikum, saya Hajjah Fauziah Haji Nawi Ingin mengumumkan bahawa jenazah anak saya Mohd Firdaus Haji Mohamad Hanif ataupun dikenali sebagai Pitt Hanif telah pun ditemui dalam keadaan yang sangat elok.

Dalam keadaan sebak, Fauziah turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan yang berusaha mencari jenazah anaknya.

“Pihak Bomba yang menemui jenazah anak saya menyatakan tak pernah jumpa jenazah yang masih elok seperti itu walaupun berada di dalam air dah dua hari.

“Pit, mama minta maaf tak dapat jaga Pitt macam mana mama janji dengan arwah baba. Terima kasih banyak pada semua yang mendoakan,” jelasnya lagi.

Jenazah telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis sebelum dibawa pulang.

Pada Sabtu, Pitt dilaporkan lemas ketika memancing selepas bot yang dinaiki di Sungai Jelai dekat Jambatan Gemunchur Mela, Lipis, Pahang karam sekitar pukul 1 tengah hari.