Isteri pertama kepada pendakwah Da'i Farhan yang tular kisahnya berkahwin janda anak lapan, Fatin Nurul Ain akhirnya tampil bersuara.

BACA: "Dendam Sampai Meroyan Viralkan Fitnah!" - Dai Farhan Jawab Isu Surat Terbuka Kahwin Janda Anak 8

Menerusi sebuah entri di Facebook miliknya, Fatin baru-baru ini menjelaskan situasi sebenar mengenai rumah tangganya bersama Farhan dan status yang dimuat naik rakannya, Ches Al Maliki yang tular baru-baru ini.

Kata Fatin, suaminya telah memaklumkan kepadanya untuk beristeri dua dan akui wanita yang sedang sarat hamil itu dia tertekan pada mulanya.

"Suami saya memaklumkan dari awal hasrat dia untuk berkahwin. Akad nikah yang diadakan di Makkah saya tahu dari ibu mertua saya.

"Tipulah kalau nak cakap saya tak kecewa, tipulah kalau saya tak marah, tipulah kalau saya tak stress. Saya manusia biasa. Bila tahu saja berita tu, terasa macam hilang arah.

"Keluarga dah maklum. Cuma kami cuba merahsiakan hal ni.

"Soal rumah tangga kami, sebenarnya kami dah bertemu mata, bercakap dari hati ke hati, saling bermaafan, benda ni dah 2 bulan berlalu dah pun.

"Saya bahagia dengan anugerah permata hati kami sekarang. Saya pun serah pada takdir apa yang terbaik," jelasnya.

Enggan terus melibatkan pihak ketiga, maklum Fatin lagi dia menerima situasi itu dengan berlapang dada.

"Ujian ini berat. Apa yang menimpa ini memang berat.

"Tapi benda boleh pikul, buat apa kita nak lepas. Benda boleh bincang, kenapa kita nak gaduh. Benda boleh sepakat, kenapa kita nak akhiri dengan penceraian.

"Pada mulanya saya reda dalam paksa. Saya fikir begitu dan alhamdulillah sekarang saya dah dapat laluinya pun dengan baik.

"Allah beri kekuatan pada saya, saya buat rutin macam biasa tak ada apa-apa yang berlaku. Saya seronok dengan kerjaya saya. Alhamdulilllah, lama-lama semua baik," tambahnya.

Fatin dalam pada itu telah menghubungi rakannya, pemilik akaun Ches Al Maliki untuk memadamkan posting berhubung kisah rumah tangganya dan Farhan namun tidak diendahkan.

Justeru, Fatin merayu kepada semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan tohmahan lanjutan isu rumah tangganya lagi selepas ini.



Kisah juara pencarian pendakwah nusantara itu menjadi bualan ramai apabila Farhan sendiri mengumumkan telah mengahwini seorang ibu tunggal beranak lapan di Makkah baru-baru ini.

Pelbagai spekulasi timbul hingga ada pemilik akaun Facebook tampil membuka kisah sebenar di sebalik perkahwinan kedua itu.